PERBEDAAN ADALAH SEBUAH KENYATAAN
Sebagai
tokoh rujukan umat Islam, nama Imam Malik bin Anas (w.179H) sangat
harum di sisi penguasa Abbasiah di Baghdad. Khalifah yang berkuasa pada
saat itu, Abu Ja’far Al-Mansur [w. 158 H], sangat mengagumi dan
menghormati beliau.
Suatu
ketika, apabila Khalifah Al-Mansur datang ke Mekah untuk melaksanakan
ibadah haji, beliau segera menjemput Imam Malik untuk menemuinya.
Keduanya lalu berdiskusi tentang pelbagai perkara berkenaan dengan hukum
agama. Tampak sekali, Khalifah sangat teruja dengan keluasan ilmu yang
dimiliki oleh Imam Ahli Madinah ini.
Khalifah
Al-Mansur lalu berkata, “Saya berniat untuk menyalin kitab Al-Muwatta
(kitab hadis dan fiqh karangan Imam Malik) sebanyak-banyaknya, lalu aku
akan mengutusnya ke seluruh negeri. Aku akan memerintahkan semua rakyat
untuk melaksanakan isinya dan meninggalkan kitab-kitab yang lain. Sebab
menurutku, mazhab yang benar adalah mazhab ahli Madinah.”
Abu
Ja’far Al-Mansur seorang khalifah yang sangat tegas dan disegani. Jika
beliau memerintahkan sesuatu, tidak ada yang berani membantahnya. Dan
kali ini, beliau bertekad untuk menjadikan kitab Al-Muwatta satu-satunya
rujukan dalam hukum Islam, dan menjadikan fatwa Imam Malik satu-satunya
fatwa yang berlaku untuk seluruh rakyat.
Ini tawaran yang sangat menguntungkan. Namun, apa kira-kira respon Imam Malik untuk tawaran ini?
Beliau
berkata, “Wahai Amirul Mukminin, janganlah engkau laksanakan niatan
ini. Sesungguhnya masyarakat kita telah mempunyai pendapat
sendiri-sendiri, mereka juga membaca hadis dan memiliki riwayat. Setiap
orang bebas mengamalkan pendapat yang menurutnya benar sesuai dengan
fatwa para sahabat Nabi Saw. Mencabut amalan dan pendapat yang selama
ini diyakini bukan perkara ringan. Maka biarkanlah setiap orang
melaksanakan pendapat yang menjadi pilihan mereka masing-masing.”
Jawapan
ini sangat bijaksana. Apabila mendengarnya, Khalifah Al-Mansur tidak
jadi melaksanakan niatannya itu. Beliau berkata, “Demi Allah, andai
engkau setuju, niscaya aku akan segera melaksanakan niatan ini.”
Kisah ini diceritakan oleh Al-Qadhi ‘Iyad Al-Yahsubi dalam kitab Tartibul Madarik, lalu diceritakan kembali oleh Al-Hafiz Abu Abdillah Al-Dzahabi dalam Siar A’lam An-Nubala.
Apabila membaca kisah ini, kekaguman saya semakin besar kepada Imam
Malik bin Anas. Beliau benar-benar tokoh ulama yang patut menjadi
panutan umat hingga ke hari ini.
Dalam
kisah ini, beliau mengajarkan kita untuk menyadari bahawa perbezaan
pendapat adalah sebuah kenyataan yang tidak dapat dinafikan. Orang yang tidak dapat menerima perbedaan, pada hakikatnya, ia tidak mampu menerima kenyataan.
Imam
Malik sepenuhnya insaf dan sadar bahwa pendapat beliau bukan
satu-satunya pendapat. Jika kita memiliki pendapat yang kita yakini
kebenarannya, bahkan rela berkorban untuk mempertahankannya, maka orang
lainpun boleh melakukan perkara yang sama. Oleh itu, kita harus menerima
kenyataan ini dengan lapang dada dan menghindari sikap “menang sendiri”
apalagi “memaksakan pendapat sendiri”.
Apalagi, Allah telah menegaskan bahawa keragaman pendapat merupakan sesuatu yang memang disengaja. Dalam Qs Huud
ayat 118-119, Allah berfirman, “Kalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia
menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih
pendapat, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu. Dan untuk
Itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat Tuhanmu (keputusan-Nya) telah
ditetapkan: Sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan jin
dan manusia (yang durhaka) semuanya.”
Meski perbedaan pendapat (ikhtilaf) mesti diraikan, namun tidak semua pendapat boleh
diiktiraf atas prinsip keberagaman. Para ulama telah lama menggariskan,
apabila ikhtilaf itu berkenaan dengan prinsip-prinsip agama [usul]
seperti perkara-perkara asas dalam akidah atau hukum yang telah
ditetapkan dengan ijmak, maka ikhtilaf ini berkaitan dengan sesat atau
lurus.
Namun, jika ikhtilaf itu berkaitan dengan perkara-perkara cabang [furu’],
maka tidak boleh ada tuduhan sesat atau kufur di sini. Akan tetapi,
kita hanya hanya boleh menilai salah satu daripada pendapat itu sebagai
lemah atau salah, tanpa membawa label sesat atau kufur.
Berkata Imam Ibn Nujaim Al-Hanafi dalam kitab Al-Asybah wan Naza’ir:
“Apabila kita ditanya tentang mazhab kita dan mazhab lain yang bertentangan dengan mazhab kita di dalam perkara-perkara furuk, kita mesti menjawab bahawa mazhab kami benar, namun boleh jadi salah. Dan mazhab orang lain salah, namun boleh jadi benar. Namun, jika kita ditanya tentang akidah kita dan akidah orang-orang yang bertentangan dengan kita, wajib kita menjawab bahawa akidah kita benar dan akidah selain kita batil [sesat].”
“Apabila kita ditanya tentang mazhab kita dan mazhab lain yang bertentangan dengan mazhab kita di dalam perkara-perkara furuk, kita mesti menjawab bahawa mazhab kami benar, namun boleh jadi salah. Dan mazhab orang lain salah, namun boleh jadi benar. Namun, jika kita ditanya tentang akidah kita dan akidah orang-orang yang bertentangan dengan kita, wajib kita menjawab bahawa akidah kita benar dan akidah selain kita batil [sesat].”
Perkara khilafiah yang berlaku di dalam masyarakat kita kebanyakannya
menyangkut perkara-perkara furuk. Maka sikap yang kita tampilkan
seharusnya adalah berlapang dada sambil berkata, “Ini pendapat saya, bisa benar namun boleh jadi salah. Dan itu pendapat si fulan, ianya
salah namun bolehjadi benar.”
Cukup
itu saja, tanpa perlu tuduhan-tuduhan negatif yang melontarkan label
“sesat” dan “bid’ah” selama masalah yang diperselisihkan hanya berkisar
di perkara-perkara yang tidak menyentuh prinsip-prinsip keislaman. Sekali tuduhan ini keluar dari lidah kita, kalimat itu akan terus membelenggu kita hingga ke hari pembalasan nanti.
Sering kali kita meyakini bahawa pendapat kita benar-benar sejalan dengan hadis Nabi Saw, sementara amalan
dan pendapat orang lain telah menyalahi sunnah itu. Hati kita terasa
gatal untuk menunjukkan keunggulan pendapat kita dan membongkar
kelemahan orang lain. Apabila kita melakukan itu, tiba-tiba permusuhan
yang kita dapatkan bukannya penerimaan.
Memang seperti itu selalunya buah dari sikap pertengkaran. Hati manusia "diprogram" untuk tidak suka dipersalahkan, namun ia mungkin terbuka untuk pemberitahuan. Pertengkaran meskipun didasari semangat “menegakkan sunnah” tidak akan membuahkan apa-apa selain perlawanan.
Dalam kitab Al-Adab Al-Syar'iah
karya Ibn Muflih Al-Hanbali, Al-Abbas bin Ghalib Al-Warraq berkata
kepada pemimpin ahli hadis dan ahli sunnah di Baghdad, Imam Ahmad bin
Hanbal: “Jika aku berada dalam suatu majlis, dan tidak ada yang
mengetahui sunnah [hadis] di dalam majlis itu kecuali diriku, lalu
seorang ahli bidaah berbicara. Bolehkah aku membantahnya?”
Imam Ahmad menjawab: “Beritahukanlah sunnah itu, namun jangan bertengkar.”
Al-Warraq mengulangi soalannya beberapa kali, namun Imam Ahmad tetap melarangnya. Beliau tidak menyukai pertengkaran walau “atas nama sunnah dan hadis” sekalipun.
Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Imam Ahmad berkata, “Aku melihatmu orang yang suka bertengkar!”
Tidak ada komentar:
Posting Komentar